Wednesday, March 16, 2011

NIKMAT TERBESAR

Written by al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Alhamdulillah. Marilah pada detik ini sama-sama kita lafazkan kata syukur Alhamdulillah untuk menggambarkan betapa kita merasa bertuah kerana diberikan hidayah iman dan Islam oleh Allah. Juga atas sekian banyak kenikmatan yang dilimpahkan oleh Allah pada setiap detik dan saat kepada kita semua. Mudah-mudahan dengan rasa syukur ini segala nikmat akan ditambah oleh Allah.

سُبْحَانَكَ لاَ نُحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلىَ نَفْسِكَ

Saudara, keimanan merupakan nikmat yang paling besar dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Ini kerana dengan nikmat iman, manusia akan mendapat keselamatan di dunia dan di alam abadi. Firman Allah:

فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلاَ يَضِلُّ وَلاَ يَشْقَى

Maksudnya:

Sesiapa yang mengikut hidayahku, maka dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. (Taha: 123)

Apalah guna kekayaan yang melimpah di dunia sekiranya tidak beriman kerana akhirnya tempat kembali adalah neraka yang membakar. Apalah guna tubuh badan yang sihat sekiranya tidak beriman kerana akhirnya di alam abadi pasti berhadapan dengan alam penuh keseksaan.

Orang yang beriman meskipun miskin di dunia, tetapi tetap kaya di alam abadi. Kebahagiaan di akhirat pasti menjadi miliknya. Apatah lagi sekiranya diberikan nikmat iman dan kekayaan di dunia. Apatah lagi sekiranya diberikan nikmat kesihatan tubuh badan yang disertai dengan keimanan. Itulah tambahan nikmat atas nikmat!

Namun, sejauh manakah kita merasakan iman itu satu nikmat yang besar yang dikurniakan oleh Allah? Hari ini manusia merasakan nikmat harta dan kesenangan adalah sebesar-besar nikmat. Justeru, mereka berusaha menjaga dan memelihara harta dan kekayaan. Betapa banyak detik masa yang dihabiskan demi untuk menambah harta kekayaan.

Tetapi, bagaimana pula dengan nikmat iman? Adakah cuba dipelihara dengan amalan berpanjangan? Adakah disuburkan dengan ibadah di waktu siang dan malam?

Inilah persoalan yang perlu difikirkan bersama…

Seseorang itu boleh menangis kerana kehilangan harta. Menyesali dan meratapi harta yang pergi. Hidup menjadi tidak keruan. Tidurnya tidak lagi nyenyak. Makannya tidak lagi berselera. Semuanya kerana meratapi harta yang lenyap diambil kembali oleh Allah yang sekadar memberi pinjam untuk tempoh yang singkat.

Tapi bagaimana pula dengan nikmat keimanan? Adakah dia juga bersedia menangis atas kehilangan iman? Adakah hatinya menjadi tidak keruan kerana iman yang dirasakan semakin lemah?

Keluarga Ammar bin Yasir di era Mekah di seksa oleh orang Quraisy demi kerana beriman. Yasir dan isterinya Sumayyah akhirnya dibunuh syahid di hadapan mata anaknya Ammar sendiri kerana mempertahankan nikmat iman. Ammar pula telah dipaksa oleh orang kafir Quraisy untuk mengucapkan kata-kata kufur. Beliau akhirnya terpaksa akur setelah menerima penyeksaan yang sangat hebat..

Setelah ungkapan kufur diucapkan beliau dibebaskan oleh orang Quraisy. Namun dia sendiri tidak gembira atas pembebasannya itu. Kerana baginya pembebasan itu diperolehi dengan mengorbankan imannya.

Di kala itulah timbul penyesalan yang tidak terhingga dalam diri beliau. Beliau lantas menangis dan bertemu dengan nabi bertanyakan kedudukan dirinya. Beliau sangat menyayangi imannya. Beliau sangat menyesali sikapnya yang telah menyebut kalimah kufur yang boleh menanggalkan imannya. Adakah rasa sayang pada iman itu juga meraja dalam diri kita pada hari ini?

Apabila Ammar bertemu baginda menyatakan penyesalannya, baginda lantas bertanya; bagaimana hati kamu ketika mengucapkan kata kufur itu? Ammar berkata:

مُطْمَئِنٌّ بالإيمان

Maksudnya:

“Tenang sepenuhnya dengan keimanan.”

Baginda lantas menjelaskan bahawa Ammar masih lagi beriman. Ammar sangat gembira dengan penjelasan nabi. Nikmat iman masih menjadi miliknya. Lantaran kisah ini Allah menurunkan firmanNya:

إلا مَنْ أُكْرِهَ وقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإِيْمَان

Maksudnya:

Melainkan orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih tenang dengan keimanan. (al-Nahl: 106)

Rasulullah SAW sentiasa bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah keimanan demi memastikan semua umatnya beriman. Namun, apakan daya baginda apabila ada yang begitu keras menolak dakwah baginda. Lantaran kesungguhan untuk memastikan setiap orang dapat mengecapi nikmat iman, Baginda sentiasa menyalahkan diri baginda apabila ada yang tidak beriman. Rentetan itu Allah menghiburkan hati baginda dengan firmanNya:

فلعلك باخع نفسك على آثارهم إن لم يؤمنوا بهذا الحديث أسفا

Maksudnya:

Boleh jadi kamu (wahai Muhammad) menyalahkan diri sendiri atas sikap mereka sekiranya mereka tidak beriman dengan cerita (iman) ini, kerana merasa teramat sedih. (al-Kahf: 6)

Baginda ingin berkongsi nikmat iman dengan seluruh umatnya. Namun apakan daya baginda. Baginda hanya mampu untuk menyampaikan. Akhirnya Allah yang akan menentukan hidayah. Tidak semua manusia diberikan hidayah iman.

Baginda bersungguh-sungguh mengajak bapa saudara yang disayanginya iaitu Abu Talib untuk beriman hingga ke hujung usianya. Di saat Abu Talib berada diambang kematian baginda datang mengajaknya beriman.

يا عمي قُلْ لا إله إلا الله أَشْهَدْ لَكَ بِهَا عند الله

Maksudnya:

Wahai bapa saudaraku. Ucaplah Lailahaillallah. Nescaya aku memberi kesaksian untukmu di hadapan Allah.

Namun, Abu Jahal yang juga berada di sisi Abu Talib menghasut beliau. Kata Abu Jahal: “Wahai Abu Talib. Adakah kamu membenci agama bapa kamu sendiri Abdul Muttalib?

Baginda lantas mengulang dakwahnya sehingga kali ketiga.. Namun dihasut pula oleh Abu Jahal. Akhirnya keputusan dibuat oleh Abu Talib dengan katanya: “Saya kekal dengan agama bapa saya Abdul Muttalib”

Demikianlah nikmat iman tidak menjadi milik Abu Talib. Akhirnya beliau mati dalam keadaan kufur. Meskipun beliau seorang yang baik, yang sentiasa mempertahankan baginda daripada ancaman orang kafir Quraisy, namun kekufurannya itu menjadi tiket untuknya ke neraka Allah. Segala kebaikan yang dilakukan di dunia tidak akan dikira di akhirat kerana beliau tidak memiliki nikmat iman. Nikmat iman adalah tiket untuk segala amalan kebaikan di dunia mendapat pengiktirafan Allah di hari Akhirat.

Apabila Abu Talib mati dalam keadaan kufur, baginda saw menangis. Kenapa? Kerana menyedari hakikat bahawa seorang yang tidak beriman tempatnya adalah neraka. Bapa saudaranya yang disayangi tidak mungkin dapatnya bersamanya di dalam syurga. Adakah kita juga menangis apabila seorang sahabat baik di dunia; susah dan senang dihadapi bersama; berkongsi pelbagai nikmat di alam dunia; tiba-tiba mati dalam kekufuran?

Allah lantas menurunkan satu ayat menjelaskan hakikat nikmat keimanan.

إِنَّكَ لا تَهْدِيْ مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللهَ يَهْدِيْ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya:

Sesungguhnya kamu tidak mampu memberi hidayah kepada orang-orang yang kamu sayang. Tapi Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya. (al-Qasas: 56)

Benar, saudara. Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya. Antara orang dikehendaki Allah beriman ialah kita pada hari ini. Daripada sekian ramai umat manusia yang ada pada hari ini, kita telah dipilih untuk beriman. Tidakkah kita merasa beruntung dan bertuah? Tidakkah kita merasakan betapa ruginya orang-orang yang tidak diberikan nikmat iman?

Marilah kita berdoa kepada Allah agar nikmat keimanan ini akan kekal menjadi milik kita hinggalah Malaikat Maut datang menjemput kita bertemu Allah. Doanya telah di ajar oleh Allah:

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً

Maksudnya:

Wahai Tuhan kami. Janganlah Engkau selewengkan hati kami setelah mana Engkau memberi hidayah kepada kami. Dan kurniakanlah kepada kami dari sisi Engkau rahmat kasihan belas.

Inilah doa hamba beriman yang pasrah. Amin…Amin…Amin… Ya Rabbal `Alamin