Thursday, July 8, 2010

Hadith Kelebihan Membaca Surah : Yaasin dan al-Waaqi'ah

Kita semua sudah sedia maklum bahawa membaca mana-mana ayat atau surah di dalam Al-Quran sudah pasti akan membawa ganjaran pahala daripada Allah SWT. Begitu juga sebahagian besar kita sudah mengetahui bahawa terdapat beberapa ayat dan surah tertentu yang disebutkan ganjaran membacanya secara khusus.


Ada yang sahih, ada yang tidak...

Namun begitu kita juga perlu menyedari satu hakikat yang telah disebutkan oleh imam-imam hadith terdahulu iaitu – sebagaimana terdapat hadith-hadith sahih tentang kelebihan membaca surah tertentu, begitu juga terdapat hadith-hadith yang tidak sahih. Adalah menjadi satu perkara yang salah apabila kita mencampur adukkan antara hadith yang sahih dan tidak sahih berkaitan pahala ganjaran membaca Al-Quran.

Bagaimana ingin membezakannya? Sudah pasti ia memerlukan usaha dan pengajian berterusan serta sikap suka bertanya kepada yang tahu. Maka seorang muslim yang berhati-hati akan sentiasa menggunakan dan menyebut hadith yang sahih terlebih dahulu sebelum menyebut hadith-hadith yang tidak sahih. Namun begitu kita semua bersetuju bahawa membaca mana-mana ayat atau surah sudah pasti mendapat ganjaran pahala secara umum. Apa yang kita ingin bicarakan ialah beberapa hadith yang tidak sahih menceritakan tentang ganjaran khusus untuk surah atau ayat tertentu..

Yaasin 'hati' Al-Quran, al-Waaqi'ah menghindari kepapaan?

Untuk sekadar memberikan contoh, saya ingin menyebut dua hadith yang sentiasa menjadi sebutan sebahagian masyarakat berkaitan pahala membaca surah tertentu:

Pertama:

Hadith tentang kelebihan surah Yaasin. Di antara lafaz yang sering disebut ialah ‘Yaasin adalah jantung atau hati kepada Al-Quran’.

Kedua:

Hadith tentang kelebihan surah al-Waaqi’ah. Di antara lafaz yang popular ialah ia jika dibaca boleh mengelakkan pembacanya daripada kefakiran dan kemiskinan.

Mari kita fahami bersama kedudukan hadith berkaitan dua surah yang disebutkan di atas:

1. Tidak syak lagi membaca surah Yaasin atau Waaqi’ah bahkan mana-mana surah mendatangkan pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Di antaranya ialah ganjaran umum yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith tentang pahala yang kita akan perolehi apabila membaca setiap huruf di dalam Al-Quran:

Sabda Rasulullah s.a.w. :
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم َرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya:

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah maka untuknya satu kebaikan dan kebaikan itu digandakan sepuluh sepertinya. Aku tidak berkata ‘alif laam miim’ itu satu huruf, tetapi ‘alif’ satu huruf, ‘laam’ satu huruf dan ‘miim’ satu huruf.
[Hadith riwayat al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh beliau]

2. Namun untuk seorang muslim menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa sesuatu hadith itu ‘sahih’ dan nyata datangnya daripada Rasulullah s.a.w., ia memerlukan keyakinan dan kepastian daripada para ulama hadith zaman-berzaman. Inilah yang tidak ada pada kedua hadith yang kita sedang bincangkan.

3.Hadith berkaitan kelebihan surah Yaasin sememangnya kita boleh temui dalam kitab-kitab hadith tertentu. Tetapi kewujudannya bukanlah bermakna ia sahih dan pasti datangnya daripada Rasulullah s.a.w. Inilah yang sering disebutkan oleh para ulama hadith. Sebagai contoh, hadith tentang Yaasin itu ‘hati / jantung Al-Quran’ kita boleh temui di dalam buku Musnad Ahmad. Dalam masa yang sama kita perlu sedar bahawa anak Imam Ahmad iaitu Abdullah Bin Ahmad pernah bertanya kepada beliau ‘adakah semua hadith di dalam Musnad itu sahih?’. Maka Imam Ahmad menjawab bahawa di dalam ada yang sahih dan ada yang tidak. Beliau berniat untuk mengumpulkan semata-mata.

4.Hadith ‘Yaasin itu jantung/hati Al-Quran’ merupakan hadith yang dinilai dhaif oleh ramai ulama hadith terkemuka. Di antara mereka yang membuktikannya sebagai dhaif ialah seperti al-Mizzi (742H), al-Zahabi (748H), al-Zailaei (762H) dan lain-lain lagi. Ini tidak termasuk ulama hadith moden dan masa kini. Untuk perhatian pembaca, hadith ini tidak ada di dalam kitab-kitab hadith yang sahih seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain. Ia juga tidak pernah dinilai sebagai sahih oleh imam-imam hadith terdahulu.

5.Begitu juga dengan kelebihan surah al-Waaqi’ah yang dikatakan boleh mengelakkan kemiskinan. Hadith ini sememangnya telah dijelaskan oleh ulama hadith sejak dahulu lagi bahawa ia tidak sahih bahkan menurut al-Mundziri (656H) (pengarang buku al-Targhib wa al-Tarhib) : ‘ia tidak diriwayatkan dalam buku-buku hadith utama’. Di antara ulama yang membuat kesimpulan ia sebagai dhaif ialah seperti al-Zahabi (748H) dalam beberapa bukunya, al-Iraqi (806H) (dalam takhrij Ihya’ Ulumiddin), Ibnu Hajar al-Asqalani (852H) dalam Nataaij al-Afkar dan juga ulama-ulama hadith moden seakan sepakat ia tidak sahih.

6.Kedua-dua hadith di atas tidak sahih dan telah dijelaskan oleh ulama hadith zaman berzaman. Ini bermakna kita tidak boleh menyebutkannya sama seperti kita menyebut hadith-hadith sahih yang lain kerana dibimbangi masyarakat akan menganggapnya benar-benar hadith dan sahih datangnya daripada Rasulullah s.a.w.


7.Sebagai maklumat tambahan, kita dapat melihat bagaimana Imam al-Nawawi (676H) dalam bukunya Riyadhussolihin telah mengumpulkan hadith-hadith tentang kelebihan ayat dan surah tertentu menerusi hadith-hadith sahih. Apa yang menarik, kedua hadith yang sedang kita bicarakan ini tidak beliau masukkan. Ini menunjukkan bahawa kedua hadith ini juga tidak dinilai sahih oleh Imam al-Nawawi.


8.Beramal dengan kedua surah ini atau membacanya sudah pasti dibolehkan dan tidak dilarang kerana ia merupakan amalan yang amat mulia di sisi Allah SWT. Apa yang ditegaskan hanyalah tentang kesahihannya sebagai hadith atau tidak.

Selamat membaca dan selamat beramal.

Adlan Abd. Aziz

No comments:

Post a Comment