Thursday, July 28, 2011

SAMPAIKAH PAHALA BUAT SI MATI?

Assalamualaikum, Bismillahirrohmanirrohim.


Ada eloknya saya sampaikan kepada pembaca blog ini berkenaan isu sampai atau tak pahala ibadah orang hidup kepada si mati...

Sering juga berlaku pertelingkahan antara puak2 atau kumpulan2 tertentu yang ingin menegakkan hujah masing2. Apapun, dengan dalil dari qur'an dan hadith diharapkan dapat menyatukan puak2 tersebut atau sekurang-kurangnya, mengurangkan pertelingkahan.

Adalah suatu yang pelik, dalam urusan agama pun boleh berlaku pertelingkahan, tuduh-menuduh dan sebagainya. Sehingga ada juga yang menfitnah, menjatuhkan maruah individu dan lain-lain.

Contohnya apa yang telah berlaku kepada Dr MAZA. Begitulah sunnah dakwah, ia takkan pernah reda dari ujian dan halangan. Sampai kapan pun, dakwah ini akan ditentang habis habisan oleh musuh-musuh Allah.


Di bawah ini saya sertakan artikel berkenaan hasil tulisan ust Zain YS al-ahkam.net dengan disemak oleh ust Abd Basit Abd Rahman.

Apakah Sampai Amalan Orang Hidup Kepada Si Mati: Satu Studi Perbandingan

Oleh: Zain Y.S (al-ahkam.net)

Note: Versi ini telah disemak, dikoreksi dan dilakukan penambahan oleh Dr Abu Anas Abd Basit Abd Rahman. Tulisan yang berwarna merah adalah koreksi atau pembetulan dari beliau. Dan teks petikan Majmuk Fatwa Sheikh Ahmad bin Abdul Halim ibn Taimiah juga penambahan dari beliau. Terimakasih dan penghargaan kepada beliau kerana sudi meluangkan masa untuk tujuan ini.
Pendahuluan:
1. Dapat kita lihat bahawa melalui penjelasan di bawah ini nanti, secara ringkasnya, semua ulama dari kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah bersetuju bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati (si mati). Cuma terdapat beberapa perbedaaan kecil yg berlaku. Umpamanya, Malik dan al-Syafi'i mengatakan bahawa ibadah badaniyah seperti sembahyang dan puasa tidak sampai. Namun, di kalangan Syafi'iyah mutaakhir mengatakan amalan berkenaan sampai.
2. Untuk perhatian pembaca, perbahasan berkaitan tajuk ini hanya di sekitar samada sampai atau tidak pahala amalan orang hidup untuk si mati. Artikel ini samasekali tidak membahaskan kaifiat atau tatacara atau bagaimana cara untuk menyampaikan pahala itu kepada si mati. Contohnya, artikel ini tidak membahas boleh atau tidak amalan tahlilan, upacara mengirim arwah, yasinan dan sebagainya yang diamalkan oleh masyarakat kita.

3. Ini bermakna, sampai atau tidaknya amalan orang kepada si mati adalah satu perkara dan manakala tata cara untuk menyampaikannya seperti yasinan, tahlilan dan sebagainya adalah satu hal yang lain pula.

4. Bila seseorang itu berpegang dengan pendapat bahawa pahala sampai kepada si mati, tidak bermakna beliau membolehkan amalan seperti upacara kirim arwah, yasinan dan tahlilan.

5. Boleh atau tidaknya amalan berkenaan memerlukan satu perbahasan lain yang panjang lebar.
--------------------------------------------------------------------------------
Berikut ini adalah petikan yang kami ringkaskan dari kitab Syarah Aqidah al-Thahawiyah:



(1) Apakah sampai amalan org hidup kepada si mati?
Seluruh ahlus sunnah wal jamaah telah bersepakat mengatakan bahawa si mati dapat manfaat dari usaha orang hidup melalui dua perkara:
1. Sebab2 yg dilakukan oleh si mati ketika hidupnya.

2. Doa kaum muslimin, istighfar mereka kepada si mati, sedekah dan haji. Cuma, haji mereka memperselisihkannya, apakah sampai manfaatnya kepada si mati ataupun tidak?
Dalam hal ini, Muhamad bin al-Hasan menolak sampainya manfaat dari haji. Beliau mengatakan: "Hanyasanya, sampai kepada si mati pahala sedekah. Manakala pahala haji adalah kepada orang yang mengerjakannya.”
Manakala para ulama lain pada umumnya mengatakan bahawa pahala haji dapat kepada mereka yg dihajikan. Dan, inilah pendapat yg sahih.
(2) Bagaimana dengan ibadah badaniyah? Apakah sampai?
Ibadah badaniyah pula seperti puasa, sembahyang, bacaan al-Quran dan zikir, terdapat beberapa pendapat:

Golongan 1: Abu Hanifah, Ahmad dan jumhur ulama salaf mengatakan bahawa ia sampai kepada si mati.

Golongan 2: Pendapat masyhur mazhab Syafi'i dan Malik mengatakan tidak sampai kepada si mati.

Golongan 3: Ahli bid'ah dari kalangan ahli kalam mengatakan tidak satu apapun yg dapat sampai kepada si mati, samada doa kaum muslimin atau selainnya. Pendapat mereka ini dapat ditolak dengan al-Quran dan al-Hadis.
(3) Dalil

Dalil di sekitar golongan yang mengatakan bahawa si mati memperoleh manfaat dari amalan orang hidup:

a. Mendapat manfaat tanpa sebab2 yg dibuat olehnya semasa hidup:
1. Firman Allah Taala: (Al-Hasyr: 10)

"dan orang-orang (Islam) Yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa Kami dan dosa saudara-saudara Kami Yang mendahului Kami Dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan Dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang Yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan RahmatMu".
Dalam ayat ini menunjukkan si mati memperoleh manfaat dari istighfar orang hidup.
2. Terdapat nash-nash yg telah diijmak-kan oleh muslimin bahawa si mati memperoleh manfaat dari doa kaum muslimin di dalam sembahyang jenazah. Begitu juga doa selepas si mati di tanam. Antaranya ialah hadis Abu Daud dari hadis Usman bin Affan r.a., katanya adalah Nabi s.a.w. apabila selesai menanam mayat, baginda s.a.w. berdiri di situ dan bersabda: "Pohonlah keampunan untuk saudaramu. Kamu pohonlah ketetapan kepadanya. Maka sesunggunhya dia sekarang sedang disoal."
Ini termasuklah doa ketika menziarahi kubur sebagaimana yg termaktub di dalam sahih muslim samada dari hari Buraidah bin al-Husaib ataupun dari hadis Aisyah r.a.
b. Dalil yg mengatakan bahawa pahala bersedekah sampai kepada si mati ada disebutkan di dalam sahihain (Bukahri & Muslim). Dari Abdillah bin Abbas r.a., bahawa Sa'd bin Ubadah kematian ibunya ketika ketiadaannya, lalu dia pergi kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Wahai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya ibuku telah mati ketika aku tiada, apakah dia mendapat manfaat jika aku bersedekah? Baginda s.a.w. menjawab: Ya. (HR Bukhari)
c. Mengenai sampainya pahala berpuasa kepada si mati ada disebutkan di dalam sahihain daripada Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Barangsiapa yang mati dan masih ada puasa yg belum dikerjakan, maka hendaklah ia dipuasakan (dibayar) oleh walinya."
Namun dalam hal ini, Abu Hanifah mengatakan puasa berkenaan hendaklah digantikan/diqadho' dengan memberi makan kepada fakir miskin bukan dengan berpuasa.
d. Dalil sampainya pahala haji, terdapat di dalam sahih Bukhari daripada Ibnu Abbas r.a.: Bahawa seorang perempuan Juhainah telah menemui Nabi s.a.w., katanya: "Wahai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya ibuku telah bernazar utk menunaikan haji, tetapi tidak dapat menunaikannya hinggalah dia mati. Apakah aku perlu menunaikan haji utknya?" Nabi s.a.w bersabda: "Kerjakanlah haji untuknya, apakah engkau tidak melihat jika ibumu mempunyai hutang? Bukankah engakau yg perlu membayarnya? Bayarlah hutang Allah, maka hutang Allah itu lebih berhak ditunaikan." (Lihat: Syarah Aqidah al-Thahawiyah, hal. 449-455 dan Ar-Ruh, karangan Ibn Al-Qayyim ms: 190 masalah: 16)
Inilah pandangan Sheikh Ahmad bin Abdul Halim ibn Taimiah, lihat: Majmu’ Fatwa Jilid 24/306-313. (Lihat teks fatwanya di akhir artikel ini)
--------------------------------------------------------------------------------

Kenapa Tidak Sampai?

Alasan pendapat masyhur mazhab Syafi'i dan Malik yang mengatakan tidak sampai ibadah badaniyah kepada si mati ialah:

1. Dapat lihat bahawa semasa hidup amalan-amalan berkenaan tidak boleh digantikan dan dikerjakan oleh orang lain. Dan, siapa yang mengerjakannya,maka dialah yang akan memperolehi pahalanya. Pahala dari amalan berkenaan tidak dapat bermanfaat kepada orang lain.

2. Hadis mauquf dengan sanad sahih dari Ibnu Abbas, katanya: "Tidak boleh bersembahyang seseorang untuk seorang yang lain, tidak boleh berpuasa untuk seorang yang lain....." (HR Al-Nasa'i)
--------------------------------------------------------------------------------

Petikan Dari Raddul Muhtar: Sampai Atau Tidak

Menurut yg tercatat di dalam kitab Raddul Muhtar oleh Ibnu Abidiin:

Di dalamnya menyebutkan bahawa seseorang itu boleh menyedekahkan pahala amalannya kepada org lain spt sembahyang, puasa, sedekah dan lainnya.

Menurutnya lagi, inilah pegangan mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Cuma Malik dan yg masyhur dari al-Syafi’i berpendapat bahawa ibadah badaniyah tidak sampai pahalanya kepada si mati, seperti sembahyang dan bacaan al-Quran.

Walaupun begitu, ulama-ulama mutaakhirin dari mazhab syafi’I (Syafi’iyah) mengatakan bahawa pahala ibadah badaniyah sampai kepada si mati dengan beberapa perincian.

Golongan muktazilah pula menyalahi pendapat Ahlus Sunnah dalam semua keadaan, baik ibadah badaniyah atau lainnya. Ia bermaksud tidak sampai pahala dari amalan orang hidup kepada si mati. (Raddul Muhtar versi Internet, lihat di:

http://feqh.al-islam.com/Feqh/)
--------------------------------------------------------------------------------

Pelbagai Masalah Sekitar Manfaat Amalan Hidup Untuk Si Mati

Berikut ini adalah petikan dari al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh yg saya ringkaskan. Dan pengarang kitab ini Dr. Wahbah al-Zuhaili telah memetik dari pelbagai kitab mazhab seperti al-Durr al-Mukhtar, Fathul Qadir, Syarah al-Risalah, Syarah al-Kabir, Mughni al-Muhtaj, al-Mughni, Kasyaaf al-Qina'dan al-Muhazab:

Para fuqahak telah bersepakat (ijmak) mengatakan bahawa orang mati memperoleh manfaat dari doa, istighfar orang hidup, sedekahnya dan ibadah badaniyah maliyah seperti haji. Dalilnya adalah firman Allah (Al-Hasyr: 10) dan (Al-Mukmin: 55)

Juga hadis Rasulullah s.a.w.:

Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w., sesungguhnya ibuku telah mati, apakah dia mendapat manfaat jika aku bersedekah? Baginda s.a.w. menjawab: Ya. (HR Abu Daud, dari Sa'd bin Ubadah)

Juga Hadis ini:

Seorang perempuan telah bertanya Rasulullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah Taala telah memfardukan haji ketika ayahku telah tua, dia tidak mampu untuk menghadapi perjalanan. Apakah aku boleh mengerjakan haji untuknya?" Baginda s.a.w. menjawab: "Jika ayahmu berhutang, apakah engkau boleh menjelaskannya bagi pihaknya?" Perempuan itu menjawab:

"Ya." Baginda bersabda: "Maka hutang terhadap Allah lebih berhak dijelaskan." (HR Ahmad & al-Nasa'i dari Abdullah bin al-Zubair).

Hadis ini juga:

Rasulullah s.a.w. telah berkat kepada orang yang bertanya:

"Sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada puasa selama sebulan, apakah aku boleh berpuasa untuknya?" Baginda menjawab: "Ya".

Ibnu Qudamah berkata, semua hadis-hadis di atas itu bertaraf sahih. Ia menjadi dalil bahawa si mati mendapat manfaat terhadap semua bentuk ketaatan dari orang hidup.

Sementara itu, di kalangan para ulama berselisih pendapat mengenai apakah ibadah badaniyah sampai ataupun tidak kepada orang lain? Ibadah badaniyah ialah seperti sembahyang, puasa dan bacaan al-Quran.

Dalam masalah ini, mereka terbahagi kepada dua golongan:

Golongan 1: Hanafiah, Hanabilah, mutaakhir dari Syafi'iyah dan Malikiyah. Pahala bacaan sampai kepada si mati jika dibaca di hadapannya, atau doa untuk si mati selepas bacaan itu, sekalipun tidak di hadapannya. Kerana tempat bacaan diturunkan rahmat dan berkat, dan doa selepasnya adalah sebagai harapan agar diterima bacaan itu.

Golongan 2: Mutaqadim (terdahulu) dari kalangan Maliki dan Syafi'iyah (pendapat masyhur), tidak sampai pahala. Namun golongan mutaakhir dari dua mazhab ini mengatakan pahala berkenaan sampai.

Menurut ulama Hanafi: Yang terpilih ialah tidak makruh memperdudukkan (ijlas) pembaca-pembaca supaya membaca di atas kubur. Di dalam bab haji mereka mengatakan bahawa seseorang itu boleh menjadikan pahala amalannya untuk orang lain, samada sembahyang, puasa, sedekah atau lain-lainnya. dan, perbuatan itu tidak mengurangkan sedikitpun pahalanya.

Menurut ulama hanbali (Hanabilah): Tidak menjadi kesalahan membaca al-Quran di atas kubur bersandarkan kepada hadis:

"Sesiapa yang masuk ke kawasan kuburan, lalu membaca Yasin, maka Allah meringankan mereka (ahli kubur) pada hari itu, dan bagi pembaca pahala sebanyak kebaikan orang di situ."

Juga hadis: "Barangsiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya dan membaca di rumahnya atau di kuburnya nescaya diampun dosanya."

Kedua-dua hadis di atas dikatakan sebagai dho'if oleh al-Sayuthi di dalam Jami'-nya.

Ulama maliki (Malikiah) pula mengatakan: Dimakruhkan membaca al-Quran ke atas mayat selepas kematiannya dan di atas kuburnya. Kerana ia bukanlah dari amalan ulama salaf. Namun begitu ulama mutaakhir telah berpendapat, tidak mengapa membaca al-Quran, zikir dan menghadiahkan pahalanya kepada mayat, dan ia akan mendapat pahala itu insyaallah.

Ulama Syafi'i mutaakhir berpendapat sebagaimana tiga mazhab lainnya, bahawa pahala bacaan sampai kepada si mati. Al-Subki berhujah, berdasarkan kepada hadis bahawa sebahagian dari ayat al-Quran apabila dibaca dengan tujuan memberi manfaat dengannya kepada si mati dan untuk meringankan bebanannya, maka ia memberi manfaat. Kerana berdasarkan hadis juga, telah sabit bahawa al-Fatihah itu apabila dibaca dengan tujuan untuk memberi manfaat kepada orang yang terkena patukan ular berbisa, maka ia memberi manfaat.

Oleh itu, apabila ia bermanfaat kepada orang hidup dengan adanya niat dan tujuan, maka sudah tentu lebih utama lagi memberi manfaat kepada orang mati dengan bacaannya. (Lihat, al-Feqh al-Islami, Dr Wahbah al-Zuhaili, vol. 2, hal. 550-552)
--------------------------------------------------------------------------------

Sampai Atau Tidak: Pendapat Hasan Bandung

Sekarang kita lihat juga pendapat A. Hasan atau lebih dikenali sebagai Hasan Bandung di dalam bukunya Soaljawab. Beliau adalah dari kelompok alla mazhabiyah atau tidak bermazhab. Beliau menolak pendapat amalan org hidup sampai kepada si mati.

Baginya, yang sampai hanyalah doa dari orang hidup agar Allah mengampunkan si mati, juga perkara-perkara yg dilakukan oleh si mati yg menyebabkan pahala itu berterusan, seperti mewakafkan tanah, ilmu yang pernah diajarkannya dan meninggalkan anak yg soleh. Dan, beliau berpegang kepada konsep seseorang itu tidak akan mendapat balasan melainkan melalui apa yang diamalkannya sahaja. Oleh itu beliau menolak hadis-hadis sahih yang dikatanya bertentangan dengan konsep berkenaan. Alasannya ialah, ia bertentangan dengan al-Quran.

Berikut ini adalah pendapat beliau:

Soal:

Hadiah-hadiah dari orang hidup kepada si mati serta bacaan-bacaan Quran, dzikir dan lainnya, adakah sampai kepada si mati? Kalau tuan kata sampai, maka sampainya itu kepada ruhnya atau kepada jasadnya, kepada quburnya atau lain daripada quburnya? Kalau tidak kepada quburnya ke manakah pergi ruh itu?

Jawab:

Tentang menghadiahkan bacaan Quran, tahlil dan lain-lain bacaan itu tidak ada satu pun keterangan dari Quran atau hadits. Adapun menghajikan atau mempuasakan si mati itu sungguhpun ada hadits yang membolehkannya tetapi lantaran hadits itu berlawanan dengan ayat Quran, maka walaupun hadits itu sahih riwayatnya tidak boleh dijadikan dalil.

Di dalam al-Quran ada tersebut:

Di hari qiamat ini tidak seorangpun dianiaya walaupun sedikit dan tidak akan dibalas kamu melainkan (menurut) apa yang telah kamu kerjakan. (Yasin:54)

Dan firman Allah:

Bahawasanya manusia tidak akan dapat (pahala) melainkan (dari) apa yang ia telah usahakan. (An-Najm:39)

Dua ayat itu dengan terang menyebut bahwa seorang tidak akan dapat balasan pahala melainkan dari amalnya yang ia telah kerjakan sendiri, ya'ni ia tidak akan dapat pahala dari perbuatan orang lain yang diniatkan untuknya.

Begitu juga lain ayat ada tersebut bahwa dosa seorang itu tidak akan dipikul oleh seorang yang lain.

Menurut fikiran dan menurut qaidah ulama hadits dan ulama fiqih dan sekelian ulama Islam, bahawa hadits yang shahih itu ialah shahih riwayatnya dan tidak berlawanan dengan Quran.

Maka oleh sebab ada ayat yang mengatakan seorang tidak akan dapat melainkan pahala perbuatan sendiri, maka hadits-hadits yang membolehkan seorang berbuat ibadah untuk orang lain itu tidak boleh dipakai.

Kita tidak pakai itu bukan lantaran mengatakan nabi kita iatu salah atau berdusta, tidak sekali-kali. Tetapi kita tidak dapat mempercayai yang nabi ada berkata begitu, ya'ni perkataan itu bukan hadits nabi, hanya orang-orang katakan itu hadits nabi. Ayat yang kedua tadi itu ada sebahagian ulama berkata sudah mansukh. Ma'na mansukh itu ialah dihapuskan hukumnya.

Di sini pembaca mesti ingat bahawa Quran itu firman ALlah yang suci. Firman Allah tidak boleh siapa-siapa hapuskan melainkan Allah sendiri atau rasul-Nya dengan izinNya. Adakah Allah dan rasulNya berkata: Ayat sudah mansukh? Kalau ada kami akan terima di atas kepala.

Jadi oleh sebab sekelian hadiah dari si hidup itu tidak sampai kepada si mati, bahkan yang demikian itu satu perbuatan yang salah, maka tak perlu kami jawab tentang ruh si mati di mana tempatnya.

Insyaallah di lain kali kalau ada kelapangan akan kami terangkan dari hal ruh itu lantaran hal ini perlu kepada pemeriksaan yang luas. (Lihat Soaljawab, juz 4, hal 1365-1366)

Dalam satu soaljawab lain pula, Hasan bandung berkata:

Soal:

Di tempat saya, kalau mereka mau hadiahkan al-fatihah atau terhidang makanan kenduri, sering mereka ucapkan: Ila hadratin Nabi al-Musthafa Muhamad s.a.w. syai'un lillahil Fatihah....

Bergunakah ucapan itu?

Jawab:

Tidak ada satupun yang akan bisa memberi manfaat kepada si mati, melainkan doa dari orang yang hidup supaya Allah ampunkan dia dan pahala dari harta waqafnya, dan pahala dari ilmunya yang digunakan orang, dan pahala meninggalkan anak yang saleh yang bisa mendoakan dia.

Oleh sebab itu bacaan al-fatihah dan sebagainya yang dibaca buat hadiahkan pahlanya kepada si mati, tidak bisa sampai samasekali.

Dari ayat:

Bahawa seorang tidak akan dapat (pahla) melainkan apa yang ia telah kerjakan itu, imam Syafi'i faham, apapun bacaan yang dikerjakan orang untuk si mati itu tidak akan sampai kepadanya.

Adapun perkataan ila hadrati itu hanya serangkai kalimat arab yang asalnya dibikin oleh pak-pak lebai tukang tahlil dari Hadramaut, lalu diturut oleh pak-pak lebai sebelah sini.

Perkataan itu tidak berguna apa-apa, kecuali mengabui mata orang-orang yang sangka, bahwa tiap-tiap kalimah Arab itu kalau diucapkan dapat pahala dan menyangka, bahwa pahla yang ia mau kirim kepada si mati itu, tidak akan sampai kalau tidak dengan bahasa arab. (Ibid. 1367, Hasan Bandung)
--------------------------------------------------------------------------------

Penutup:

Dapat disimpulkan bahawa:

1. Menurut jumhur ulama salaf, mutaakhir Syafi'i dan Maliki, pahala amalan orang hidup itu sampai kepada si mati, samada ia ibadah badaniyah ataupun bukan, seperti doa, istighfar, sedekah dan sebagainya.

2. Mutaqaddimin Syafi'iyah dan Malikiah mengatakan pahala dari ibadah badaniyah tidak sampai kepada si mati.

3. Hasan Bandung dan yang sealiran dengannya mengatakan bahawa yang sampai kepada si mati hanyalah doa dari orang yang hidup supaya Allah ampunkan dia dan pahala dari harta waqafnya, dan pahala dari ilmunya yang digunakan orang, dan pahala meninggalkan anak yang saleh yang boleh mendoakannya. Beliau menolak hadis-hadis sahih yang menunjukkan sampai pahala puasa dan haji kerana dianggapnya bertentangan dengan nash al-Quran.

4. Sebahagian ahli kalam mengatakan bahawa tidak ada satupun yang dapat sampai kepada si mati, samada doa, istighfar atau lainnya.

Sekia

No comments:

Post a Comment