Monday, July 2, 2012

Hadis Al Bukhari : Syaaban & Malam Nisfu Syaaban

Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.

Abdullah bin Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah r.a. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah s.a.w. berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Baginda s.a.w. berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w. berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda s.a.w. berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).

NISFU SYA'ABAN... SUATU PERBAHASAN

1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.