Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban,
saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan
kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz
Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih
Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.
Abdullah bin Yusuf menyampaikan kepada kami, dari
Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah r.a. dia berkata
(bermaksud), “Adalah Rasulullah s.a.w. berpuasa sehingga kami mengatakan
dia tidak berbuka. Baginda s.a.w. berbuka
sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi
s.a.w. berpuasa penuh satu bulan melainkan
(dalam bulan) Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda
s.a.w. berpuasa lebih banyak selain dari bulan
Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).
Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari
Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah r.a. meriwayatkan kepadanya
dengan berkata, “Nabi s.a.w. tidak
pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi
s.a.w. berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz
Al-Bukhari]. Nabi s.a.w. bersabda, “Beramallah
dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu
sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah r.a. menyambung,
“Solat yang paling disukai Nabi s.a.w.
ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi
s.a.w. apabila solat, dia mengerjakannya
secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).
Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul
Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah r.a. berkata
(bahawa) “Kekasihku (Nabi
s.a.w. ) telah mewasiatkan
kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat
Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat
Imam Al-Bukhari).
Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku
dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry,
dari Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda
(bermaksud) “Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap
malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada
Aku, untuk Aku memperkenankan doanya? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk
Aku berikan kepadanya? Mana orang yang memohon keampunanKu, untuk Aku
mengampuninya? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).
Di dalam Hadis-hadis Sahih riwayat Imam
Al-Bukhari di atas, tidak disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban
ie. 14 atau 15hb Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14
dan 15hb setiap bulan yang mana termasuklah di dalamnya hari pertengahan Syaaban
(Nisfu Syaaban). Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari di atas juga tidak disebut
secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut berqiamullail di
setiap malam, dan yang mana ini termasuklah malam pertengahan Syaaban (nisfu
Syaaban).
Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan
berpuasa pada siang harinya, dengan secara khusus menyebut kalimat “Nisfu
Syaaban”, status hadis-hadisnya (sahih, hasan sahih, hasan, dhaif, maudhuk dll)
adalah menjadi perbincangan akademik para ulamak hadis. Jika tidak mencapai ke
tahap Sahih, ia tidak boleh dijadikan hujah Syarak, namun jika dipadankan
dengan Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, ia boleh dijadikan
panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat-fadhilat Amal Ibadah) dalam
Islam.
“Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah
yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan
bekerjasama ke arah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha tersebut membawa
kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).
Akhirnya nanti, secara amalinya, bangun malam
(qiamullail) dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang syar’iyy, merupakan
salah satu taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah) dan bukan
bid’ah.
Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan
Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh
karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:
Dari Usamah b Zaid r.a. berkata, “Aku bertanya,
ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain
sepertimana engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia
adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadan. Ia
adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam, maka aku
suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat
An-Nasaie).
Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya
dari Anas r.a. dia berkata, “Nabi
s.a.w.
ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi
s.a.w.
menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi
s.a.w.
ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah di
bulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan
Sahih.
Dari Ibnu Majah dari Ali r.a. dari Nabi s.a.w.
bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu
berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah
swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah di
sana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana
orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang
yang diberi ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana …
adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.
Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah
r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku
dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah
membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani
Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. Pada malam itu Allah tidak menoleh
kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus
silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih
arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki
bilangan kambing yang terbanyak.
Akhir kata, Allahumma a’inni ala
zikrika wa syukrika wa husni ibadatik (Ya Allah, bantulah aku
untuk mengingati, mensyukuri dan beribadah kepadaMu). Ameen ya rabbal alameen.
No comments:
Post a Comment