Monday, June 7, 2010

MUTIARA IMAN: JANGAN TAMAK & PANJANG ANGAN-ANGAN


Daripada Anas Bin Malik berkata : Rasulullah SAW bersabda : “ Dalam semua perkara pada anak Adam yang akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara : Tamak dan angan-angan.” ( Riwayat Bukhari )

Ulasan Hadis:

1. Di dalam Hadis Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita tentang 2 perkara yang perlu kita elakkan. Iaitu tamak dan angan-angan.

2. Tamak merupakan sifat yang tercela, sifat ini adalah sifat manusia yang tidak pernah merasa cukup dan puas dengan apa yang dimiliki, dan mereka ini boleh disifatkan sebagai orang yang tidak bersyukur.

3. Angan-angan ialah perbuatan yang menyebabkan seseorang itu tidak berada di alam realiti dan ianya hanya berada di alam fantasi, iaitu alam yang tidak kesampaian disamping ianya juga membazir masa semata-mata. Dan angan-angan juga adalah racun dan musibah kehidupan yang tidak ada manfaatnya.

4. Seseorang yang tamak dan panjang angan-angan termasuk di dalam golongan yang rugi dan boleh mengheret manusia ke lembah kerosakan dan keresahan. Berkata Zunnun Al Misri seorang Ulama Sufi : “ Yakin mendorong kepada pendek angan-angan, sedangkan pendek angan-angan membawa kepada zuhud. Sifat zuhud mewarisi hikmah dan hikmah pula mewarisi berfikir tentang akibat.”

5. Oleh itu, kita hendaklah mengantikan sifat tamak kepada sifat merasa cukup dengan apa yang ada, mengikut kepada keperluan dan hajat, dan kita gantikan sifat berangan-angan dengan perkara yang lebih bermanfaat dengan memikirkan perkara-perkara yang menambah baik hubungan kita dengan ALLAH SWT.

6. Justeru, janganlah kita merugikan diri kita sendiri, segeralah menjauhi sifat tamak dan panjang angan-angan yang membawa kita jauh daripada ALLAH, apabila jauh dengan ALLAH maka akan terbukalah ruang-ruang maksiat yang menjadikan kita hamba yang dihinakan. NAUZUBILLAH. WALLAHU’ALAM.

No comments:

Post a Comment